Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), wabak koronavirus dikesan selepas organisasi itu dimaklumkan terdapat beberapa kes radang paru-paru di bandar Wuhan, di wilayah Hubei, China.

WHO dalam laman sesawangnya berkata, pihak berkuasa China pada 7 Januari lalu mengesahkan Koronavirus yang baru dikenal pasti itu boleh tersebar daripada manusia kepada manusia.

Virus itu tidak sepadan dengan virus lain yang diketahui, dan mencetuskan kebimbangan kerana tidak banyak yang diketahui mengenai virus ini seperti tahap bahayanya dan bagaimana kesan jangkitannya terhadap manusia.

"Virus baru itu adalah koronavirus, yang merupakan keluarga yang termasuk selsema biasa, dan virus seperti Sars dan Mers," katanya.

Virus baru ini buat sementara waktu dinamakan sebagai "2019-nCoV."

Bagaimana Koronavirus memberi kesan kepada manusia?

Menurut WHO, koronavirus adalah keluarga besar virus yang menyebabkan penyakit daripada selesema biasa kepada penyakit yang lebih berbahaya seperti sindrom pernafasan akut teruk (Sars) dan sindrom pernafasan Timur Tengah (Mers-CoV).

"Tanda biasa jangkitan termasuk gejala pernafasan, demam, batuk, sesak nafas dan kesukaran bernafas.

"Dalam kes yang lebih teruk, jangkitan boleh menyebabkan radang paru-paru, sindrom pernafasan akut yang teruk, kegagalan buah pinggang dan malahan membawa maut," kata organisasi kesihatan itu.